MELAKA, 5 Dis – Sasar……. Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan
jumlah kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mencecah RM38 bilion pada
tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad.
“Sehingga Nov, kira-kira RM37 bilion telah berjaya dikutip dan sasaran
kutipan RM38 bilion pada tahun ini dijangka akan dicapai memandangkan
perlaksanaan sistem GST kini dilihat semakin stabil dan ia dijangka stabil
sepenuhnya dalam jangka masa lebih kurang tiga ke empat tahun akan datang.
“Dari segi pematuhan perlaksanaan GST di negara ini, kita telah mencapai
tahap 97 peratus penyampaian borang kutipan GST oleh peniaga dan ia jelas
menunjukkan wujud kesedaran dalam kalangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Seminar Kolaborasi Agensi
Penguatkuasaan di sini, hari ini yang dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Othman Aziz.
Beliau juga berkata Kastam mengunjurkan peningkatan antara 10 hingga 13
peratus jumlah kutipan GST pada 2017.

Beliau berkata JKDM akan memberi fokus terhadap isu pematuhan penyampaian
penyata GST dalam aspek kualiti sebagai salah satu langkah penambahbaikan sistem
percukaian itu pada tahun hadapan dan bagi memastikan sasaran kutipan GST
berkenaan dapat dicapai.

Dalam perkembangan lain, Khazali berkata negara dijangka akan kehilangan
antara RM1 bilion hingga RM1.3 bilion setahun disebabkan ketirisan kutipan cukai
rokok, minuman keras dan kenderaaan di pulau bebas cukai di negara ini termasuk
di Pulau Langkawi di Kedah, Pulau Tioman di Pahang dan Wilayah Persekutuan
Labuan.

Beliau berkata namun ia dijangka dapat diatasi melalui penstrukturan semula
jualan bagi rokok dan minuman keras serta kawalan ke atas pengecualian cukai
kenderaan yang dibawa masuk di tiga pulau berkenaan bermula 1 Nov lepas.
“Penduduk dan pelancong tempatan serta pelancong luar negeri masih boleh menikmati bebas cukai untuk ketiga-tiga barang ini tetapi cara kita mengendalikan kita ubah supaya kita benar-benar tahu berapa banyak sebenarnya pembelian rokok dan minuman keras di pulau ini,” katanya. – WD MY