PUTRAJAYA, 2 April – LANTIK…  YBhg. Dato’ Paddy bin Abd Halim sebagai Ketua Pengarah Kastam yang baharu berkuatkuasa 1 April 2019.

Pelantikan YBhg. Dato’ Paddy adalah bagi menggantikan YBhg. Dato’ Sri Subromaniam Tholasy yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 9 Mac 2019.

YBhg. Dato’ Paddy bin Abd Halim memulakan kerjaya sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Perak pada tahun 1983.

Beliau juga pernah bertugas di beberapa cawangan dan bahagian di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Ibu Pejabat sebelum dilantik memegang jawatan sebagai Pengarah, Bahagian Pengurusan Pematuhan pada tahun 2011.

Pada 15 Julai 2016, beliau telah dinaikkan pangkat ke Gred Utama B, sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) dan seterusnya pada 1 Julai 2017, beliau telah diberi tanggungjawab menggalas jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST).

Kementerian Kewangan juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Dato’ Sri Subromaniam yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang sebagai Ketua Pengarah Kastam terutamanya dalam memimpin JKDM ke arah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan jayanya. – WD MY