PUTRAJAYA, 25 Jun – Tangkis…..┬áTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kawalan keselamatan di kediaman rasmi Perdana Menteri dipertingkatkan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Insya-Allah, terjamin (kawalan keselamatan). Dengan apa yang berlaku di Marawi, Bangkok dan Makkah, baru-baru ini, kita perlu pertingkatkan kawalan keselamatan.

“Kita tidak mahu sebarang perkara buruk berlaku,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, di sini, hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata masyarakat dapat hidup bebas tanpa rasa takut, termasuk menyambut Aidilfitri dengan senang hati jika rakyat tidak terpengaruh dengan fahaman militan dan ekstremis.

Kawalan paling utama bagi menangkis ancaman pengganas adalah daripada rakyat sendiri.

“Kita ada pasukan keselamatan yang sungguh berwibawa, anggota polis yang bertindak cergas dan angkatan tentera serta badan lain yang menjaga sempadan negara dengan begitu baik sekali.

“Semua ini asas penting kerana kita mendapat negara yang aman, rakyat dapat bergerak bebas dan hidup dalam suasana harmoni.

“Kalau tidak ada keamanan, tidak boleh kita adakan rumah terbuka seperti ini,”.

Beliau berkata demikian ketika sesi temu bual secara langsung bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dengan beberapa media elektronik, tengah hari tadi.

Dianggarkan kira-kira 75,000 tetamu berada di Seri Perdana setakat tengah hari tadi, sebahagian besarnya sabar beratur panjang untuk bersalaman dengan Najib dan Rosmah selain menteri Kabinet serta isteri masing-masing. – WD MY