BAGAN DATUK, 21 Jan – Langkah….. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarah
untuk mengambil langkah proaktif bagi menyiapkan kerangka bagi dasar-dasar
kementerian itu dari segi aspek keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam
Transformasi Nasional 2050 (TN50), KDN menerusi majlis pengurusan tertingginya
perlu menyiapkan dasar berkenaan untuk jangka tempoh masa yang panjang.
“Kementerian perlu sentiasa berada di luar kepompong pemikiran yang sempit
dengan mengambil tindakan secara konvensional dalam menterjemahkan
penguatkuasaan menerusi perundangan.
“Penduduk dunia dijangka mencapai 9 bilion pada 2050, dari segi aspek
keselamatan ketika itu memperlihatkan bahawa biar pun senjata makin canggih,
biar pun penjenayah bersikap ganas namun penguat kuasa khususnya agensi
keselamatan harus lebih bersiap siaga dan mempunyai pemikiran serta teknologi
yang lebih canggih,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri perjumpaan bersama
masyarakat India di Dewan Sanmarka di Hutan Melintang semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta
mengulas mengenai penekanan dalam TN50 termasuk dari segi aspek keselamatan.

“Kita mesti berada di suatu garisan yang lebih berbanding dengan kemampuan
penjenayah atau pengganas yang melakukan kegiatan yang boleh membawa kebejatan
atau kerosakan kepada masyarakat dunia keseluruhannya khususnya di negara ini,”
katanya. – WD MY