PUTRAJAYA, 23 Nov – Kementerian Dalam Negeri akan mengambil
tindakan tatatertib terhadap dua pegawai penjara berhubung isu prosedur dan
pengurusan perolehan bagi pembelian sistem dan peralatan komputer di Jabatan
Penjara Kajang.
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata kedua-kedua pegawai
itu tidak mengikuti dan mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Kewangan
berhubung pembelian sistem dan peralatan komputer bernilai RM200,000 itu.
“KDN telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dan siasatan sudah pun
dijalankan.
Saya difahamkan bahawa dua pegawai itu akan diambil tindakan
tatatertib.
“Siasatan dapati pegawai berkenaan tidak mengikuti sepenuhnya peraturan
ditetapkan dan KDN akur dengan teguran Jabatan Audit,” katanya di sini semasa
mengulas teguran Pengurusan Perolehan Jabatan Penjara Malaysia dalam Laporan
Ketua Audit Negara 2015 Siri 2.
Dalam pada itu, Alwi menjelaskan KDN telah mengeluarkan arahan dan
pekeliling dalaman agar semua jabatan termasuk Jabatan Penjara mematuhi
peraturan prosedur sebut harga dan hal-hal lain berkaitan perolehan.
Menurutnya projek kecil itu membabitkan nilai RM200,000 dan tidak membawa
kerugian kepada kerajaan kerana peralatan komputer itu ada di Penjara Kajang. – WD MY