KUALA LUMPUR, 7 Sept – Tampil…… Pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen Malaysia memastikan semua sistem yang dibangun dan digunakan benar-benar dapat disepadukan secara menyeluruh.

Selain kedua-dua pihak itu, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) juga perlu dibabitkan secara langsung dalam setiap aspek perancangan serta pelaksanaan Sistem Teknologi Maklumat JIM.

Pengerusi, Datuk Hasan Ariffin, berkata PAC berpuas hati dengan penjelasan serta penerangan yang diberikan KDN dan Jabatan Imigresen terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2015 Siri 1 berhubung myIMMs.

“Pada keseluruhannya, Sistem myIMMs ini adalah baik dan sudah memenangi banyak anugerah dalam dan luar negara.

“PAC berpandangan Sistem myIMMs tidak perlu ditukar tetapi ditambah baik berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa. Ini akan memudahkan pegawai dan kakitangan JIM untuk lebih mahir mengendalikan Sistem myIMMs.

“MAMPU pula diminta untuk sentiasa memantau dan memberikan input serta cadangan bagi menambah baik Sistem myIMMs supaya sistem ia berada pada tahap terkini serta mampu berdepan sebarang cabaran bagi menjamin keselamatan negara sentiasa terkawal,” katanya dalam kenyataan media.

Hadir pada prosiding pada kelmarin adalah Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. – WD MY

LEAVE A REPLY