PUTRAJAYA, Feb 26 – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat pertama kalinya menjalinkan kerjasama bagi
menangani fahaman dan kegiatan ekstremis yang disebarkan melalui hadis-hadis palsu.

Menurut beliau?, perkara itu dilakukan kerana terdapat hadis-hadis palsu di laman-laman sosial terutamanya
yang bertujuan untuk merekrut bakal-bakal pengganas termasuk yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.

“Ini termasuk dengan kes gadis berusia 14 tahun yang cuba menyertai kumpulan
militan IS di Syria, kerana beliau telah terpengaruh hadis (palsu) yang dibaca
itu adalah benar dan sahih,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Pertemuan
Bersama Anggota Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran dan
Lajnah Tafsir al-Quran di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Ahmad Zahid berkata walaupun KDN juga bekerjasama dengan Kementerian
Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
bagi menangani isu itu namun ia masih tidak mampu untuk memantau setiap akaun
media sosial di negara ini.

“Kita rasa tidak cukup dengan penguatkuasaan sahaja, tapi perlu ada
kesedaran di kalangan orang awam itu,” katanya, sambil menambah KDN berhasrat
bertemu dengan lebih 20 ulama yang pakar dalam bidang hadis untuk mengatasi
permasalahan itu dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata JAKIM akan mengeluarkan senarai
hadis-hadis palsu peringkat demi peringkat di laman sesawangnya dalam masa
terdekat.

“Dunia sekarang semakin berkembang maju dan pendekatan dan orang ramai yang
mencari maklumat juga berbeza terutamanya berkaitan dengan al-Quran dan hadis
yang mana mereka lebih mencari melalui komputer dan media baru.

Namun melalui jalan inilah, kadang-kadang terdapat sumber-sumber tidak
pasti yang direka termasuk hadis yang bukan bersumber daripada Rasullullah sendiri,” katanya.

Justeru katanya, melalui kerjasama itu, satu biro yang dikenali sebagai Lajnah Tahseh al-Quran KDN
dibentuk untuk yang menggunakan kepakaran sedia ada dalam JAKIM dan Majlis Agama Islam
negeri-negeri untuk menangani penyelewangan hadis.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY