KUALA LUMPUR, 25 Okt – NAFI….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara cincai atau ‘mala fide’ dan menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai tidak berasas.

Menteri Dalam Negeri berkata, siasatan yang dibuat tidak terhenti di peringkat PDRM sahaja tetapi turut dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya, termasuk tindakan undang-undang.

“Mana-mana individu boleh mencabar keputusan di mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis dan keputusan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya,” katanya.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) berhubung tindakan undang-undang terhadap tujuh anggota polis yang berhibur dengan tauke judi di sebuah pusat hiburan di Muar.

Lip Eng bertanya, selain tindakan tukar ke jabatan lain, apakah tindakan lain yang sudah diambil dan benarkah polis menyiasat secara cincai atau ‘mala fide’ sehingga membawa kepada pendakwaan salah.

Menteri Dalam Negeri menjelaskan, PDRM sudah mengambil tindakan menukar seorang pegawai dan enam lagi anggota ke jabatan lain ekoran tersebarnya sebuah video berdurasi sembilan saat pada 8 Oktober 2017 dalam Facebook.

Video itu memaparkan sekumpulan tujuh orang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Johor, didakwa sedang berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan yang terletak di Pusat Perniagaan Bakri.

Tindakan sama juga sudah diambil terhadap seorang anggota dari IPD Segamat, Johor, yang kelihatan mesra dengan seorang wanita berpakaian seksi ,dipercayai pelacur.

“Tindakan menukar pegawai yang terbabit dalam kedua-dua kejadian itu adalah tindakan serta-merta yang diambil oleh Kontinjen Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

“Tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka jika dakwaan mempunyai asas,” katanya. – WD MY