JOHOR BAHRU, 12 Nov – Pantau…… Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau penyaluran dana asing sejak lebih 10 tahun lalu bagi memastikan prosesnya tidak menyalahi undang-undang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata setakat ini tiada bukti kukuh menyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menjalankan kegiatan sehingga mengancam ketenteraman awam.

“Kerajaan memang memantau kegiatan mereka selama ini tetapi kita belum mendapat apa-apa bukti kukuh yang mengatakan bahawa NGO di negara kita menjalankan aktiviti mengancam ketenteraman negara dengan saluran dana secara langsung dari Open Society Foundation (OSF).

“Perkara ini masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelepasan program Johor Future Run Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting 2016 di Padang Angsana Mall, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan yang menyerahkan 30 nama syarikat dan individu termasuk pemimpin pembangkang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan berhubung kemasukan dana asing untuk menggulingkan kerajaan. – WD MY