KUCHING, 5 Nov – MILIKI….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha keras memastikan saki baki penduduk Sarawak yang layak tetapi masih belum memiliki kad pengenalan atau sijil kelahiran tidak menghadapi masalah untuk memiliki dokumen penting itu.

Beliau merangkap Menteri Dalam Negeri semasa menegaskan perkara itu berkata beliau telah mengarahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak Jasni Jubli supaya menangani masalah itu sebelum 1 Dis ini.

Beliau berkata pihak KDN serius dalam menangani masalah itu kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga mengakibatkan ada penduduk yang dilahirkan di Sarawak ini yang tidak dapat meneruskan pengajian atau memohon pekerjaan.

“Saya juga arahkan timbalan menteri (Masir) dan pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (negeri) terus gigih berusaha menyelesaikan masalah ini biarpun selepas 1 Disember nanti, kerana kami (KDN) bermatlamat supaya masalah ini dapat diselesaikan sama sekali selewat-lewatnya September tahun depan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini, sebelum menamatkan lawatan kerjanya di Sarawak petang ini.

 

Katanya dalam lawatan kerja hari ini, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah yang dipertanggungjawab oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg untuk menangani permasalahan berkaitan pemilikan kad pengenalan dan sijil kelahiran dalam kalangan penduduk Sarawak.

Beliau berkata dalam usaha menangani isu berkenaan, satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara di samping pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaunbagi memastikan semua penduduk kawasan pedalaman terutama daripada kalangan etnik Iban dan Penan, dapat memiliki kad pengenalan atau sijil kelahiran tanpa sebarang masalah.

Merujuk kepada Masir, katanya beliau melihat timbalan menteri dalam negeri itu amat komited dalam menyelesaikan isu berkaitan pemilikan kad pengenalan dan sijil kelahiran apabila ia dibangkitkan pada setiap mesyuarat peringkat tertinggi KDN.

Ahmad Zahid berkata pelantikan Fatimah untuk menangani masalah berkaitan isu itu juga menunjukkan kesungguhan dan komitmen padu ketua menteri untuk menyelesaikan masalah berkaitan kewarganegaraan penduduk Sarawak.