PUTRAJAYA, 9 Ogos – Umum Keputusan….. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat berhubung saranan memendekkan tempoh pembukaan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya sedang meneliti implikasi daripada saranan itu.

“Ada beberapa implikasi, dari segi ekonomi, jenayah dan aktiviti tengah malam, …kita akan adakan perbincangan dan akan maklumkan keputusan dalam waktu terdekat,” katanya selepas merasmikan Taklimat Khas Keselamatan Dalam Negara Kepada Ketua-Ketua Perwakilan Asing di Malaysia, sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas laporan BH hari ini mengenai kebanjiran rakyat negara ini melintasi sempadan Malaysia-Thailand selepas jam 6 petang.

Kegiatan itu menimbulkan persoalan kerana sebahagian besar premis niaga yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah di pekan Danok, Thailand sudah ditutup.

Berikutan itu pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar menyarankan tempoh pembukaan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam perlu dipendekkan bagi mengekang pelbagai gejala negatif membabitkan rakyat negara ini. – WD MY

LEAVE A REPLY