KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah
mewajibkan ahli lembaga pengarah dan pemegang syarikat kawalan keselamatan
mengikuti kursus pengurusan syarikat sebagai syarat memperbaharui lesen mereka
bermula tahun hadapan.

Timbalan menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kursus itu bertujuan
meningkatkan pengetahuan semasa ahli lembaga pengarah dan pemegang syarikat
kawalan keselamatan.

“Langkah ini adalah bagi memastikan mereka (ahli lembaga pengarah dan
pemegang saham syarikat kawalan) lebih bertanggungjawab dan melibatkan diri
secara langsung dalam pengurusan syarikat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi perjumpaan dengan syarikat kawalan
keselamatan dan agensi persendirian dekat sini hari ini.

Pada majlis sama peserta diberi taklimat pembaharuan lesen agensi
persendirian bagi tahun 2016 serta program Certified Security Guards (CSG).

Nur Jazlan berkata kursus berkenaan juga bertujuan menambah baik industri
kawalan keselamatan di negara ini seiring dengan kehendak masyarakat yang
memerlukan perkhidmatan kawalan keselamatan yang lebih berkualiti.

Mulai 1 Januari tahun depan, KDN turut mewajibkan semua pengawal keselamatan
memakai pakaian seragam yang diselaraskan kepada satu jenis kombinasi warna
sahaja dengan sistem pangkat dan susunan aksesori pakaian yang turut
diseragamkan.

“Sudah sampai masanya pegawal keselamatan di negara ini mempunyai imej
yang setaraf dengan anggota keselamatan lain seperti polis dan tentera,”katanya.

Nur Jazlan memberi peringkatan kepada pemilik syarikat kawalan keselamatan
agar tidak sama sekali memajak, menyewa atau menjual lesen mereka kepada pihak
lain.

“Mereka yang didapati melanggar peraturan itu boleh dikenakan tindakan
pembatalan lesen serta-merta dan akan disenarai hitam seumur hidup daripada
memohon lesen baharu,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY