PUTRAJAYA, 5 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentuk
Lembaga Pengawalan Teks al-Hadis dan Jawatankuasa Teks al-Hadis dalam tempoh dua
bulan lagi bagi pelaksanaan standard kawalan teks hadis.

Menurut Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, lembaga itu akan
berperanan seperti Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran bagi
mengawal penerbitan bahan-bahan berkaitan hadis palsu atau hadis yang disalah
tafsir untuk kepentingan pihak tertentu.

Katanya kementerian juga bercadang mewujudkan sebuah portal mengenai sumber
rujukan agama Islam kedua itu berdasarkan nasihat ulama yang mempunyai kepakaran
dalam bidang itu.

“KDN bertanggungjawab dalam hal ehwal penerbitan teks berkaitan hadis jadi
kami akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para
ulama yang pakar dalam bidang ini,” katanya.

Ahmad Zahid ditemui media selepas pertemuan selama hampir dua jam
bersama ulama hadis dan ahli akademik antaranya dari Universiti Kebangsaan
Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan
Universiti Sains Islam Malaysia, di sini.

Tambah Ahmad Zahid mesyuarat itu diadakan bagi mendapatkan pandangan ulama
dan ahli akademik yang pakar dalam bidang hadis bagi mengelakkan KDN memberi
kelulusan kepada penerbitan-penerbitan yang tidak benar.

“Banyak hadis yang perlu diharamkan contohnya hadis-hadis yang merujuk soal
jihad yang mempengaruhi bakal pengganas untuk masuk IS di Iraq dan Syria,”
katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY