ALOR SETAR, 22 Feb – Sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dikekalkan dalam barisan kepemimpinan kerajaan negeri Kedah.

Majlis angkat sumpah berlangsung jam 11 pagi tadi di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini.

Sumpah pelantikan disempurnakan dihadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tengku Laksamana Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim.

Upacara angkat sumpah dimulakan oleh ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, diikuti ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob; ADUN Tanjung Dawai, Tajul Urus Mat Zain; ADUN Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim; ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid; ADUN Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah; ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor; ADUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar dan ADUN Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong. 

Pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah terus memberi kepercayaan kepada semua EXCO sedia ada walaupun terdapat desas-desus yang mengatakan akan berlaku perubahan dalam barisan EXCO pimpinannya, sebelum ini. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY