KOTA KINABALU, APRIL 1: Keamanan negara mampu membawa Malaysia ke arah kestabilan politik seterusnya memancu pembangunan ekonomi negara.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata justeru semangat persaudaraan dan kekitaan tinggi penting dalam masyarakat pelbagai suku kaum dengan agama, budaya dan latar belakang berbeza.

Sebagai sebuah ‘keluarga besar’, katanya, yang penting ialah saling bekerjasama, bersatu padu dan berganding bahu untuk mencapai kemajuan lebih tinggi.

“Kita bersyukur kerana Sabah bawah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN), terus pesat membangun dalam pelbagai sektor dengan adanya perpaduan rakyat.

“Segala dasar serta program pembangunan sedang dan akan dilaksanakan bertujuan memberi manfaat ke arah kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuk untuk kumpulan sasaran, terutama rakyat di kawasan pedalaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Beramah Mesra Bersama Masyarakat India Negeri Sabah di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi MIC Sabah, Datuk V Jothi, dan Timbalan Pengerusi, Datuk Victor Raja Sekaran.

Musa berkata, semangat persaudaraan dan kekitaan memang menjadi amalan serta budaya masyarakat Sabah selama ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sendiri mengakui dan mengiktiraf bahawa Sabah adalah contoh terbaik mengamalkan semangat 1Malaysia.

“Walaupun masyarakat India adalah kumpulan minoriti di Sabah, kerajaan negeri terutama melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah serta agensi berkaitan, akan terus membantu apabila diperlukan.

“Justeru, saya berharap semua orang boleh memanfaatkan sepenuhnya saluran sedia ada untuk menyampaikan pendapat, cadangan dan galakan bagi memastikan kebajikan serta kemakmuran dapat dijaga,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM100,000 kepada Kuil Sri Subramaniam di Lok Kawi untuk penambahbaikan kuil sempena upacara Maha Kumbhabishegam yang dijangka diadakan bulan depan.

Sementara itu, Jothi pula berkata, walaupun bilangan masyarakat India kecil di Sabah, sokongan tidak berbelah bahagi yang diberi menyuntik kekuatan kepada BN negeri ini.

Beliau berkata, mengikut rekod pihaknya, lebih 5,000 penduduk India layak mengundi di seluruh Sabah.

“Walaupun jumlahnya dilihat kecil, sokongan dan undi golongan minoriti amat penting dalam persaingan ini.

“MIC Sabah juga mengadakan program mendekati dan memberi ceramah penerangan kepada masyarakat India berhubung isu semasa bagi meningkatkan sokongan kepada BN,” katanya.

Beliau berkata, hanya BN mampu membawa transformasi dan menunaikan agenda kaum India di Sabah.-MY WD