BALING, 8 Feb – TERUK….. Operasi memadam kebakaran di Gunung Baling yang berlaku sejak Rabu lalu, diteruskan pagi ini, dengan keadaan api masih marak walaupun kira-kira 17,600 liter air sudah digunakan setakat ini.

Sejak petang semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter jenis MI-17 bagi membawa air memadamkan api membabitkan kawasan seluas lebih 600 meter persegi.

Ketua Balai Bomba Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud, berkata operasi memadam kebakaran di Gunung Baling bermula jam 8 pagi tadi dengan menggunakan kaedah manual bagi mengelakkan api merebak.

“Kita masih menggunakan teknik semburan udara dan pemadaman darat membabitkan 68 anggota keselamatan daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta malim gunung membantu operasi memadamkan kebakaran.

“Semburan udara dijadual dilakukan selama tiga jam, hari ini, dengan helikopter mengambil air dari Sungai Ketil berikutan jarak lebih dekat dan cepat,” katanya. – WD MY