KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pantau…… Semua tahap kebersihan Kuala Lumpur dan
Putrajaya akan dipantau rapi bagi memastikan ia bersih sepanjang temasya Sukan
SEA dan Sukan Para ASEAN nanti kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan memberi jaminan tahap kebersihan gelanggang pertandingan di sekitar Kuala Lumpur serta Putrajaya akan berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi dua temasya itu.
Sukan SEA ke-29 akan bermula dari 19 hingga 31 Ogos diikuti Sukan Para ASEAN
kesembilan dari 17-23 Sept.
Tengku Adnan berkata kementeriannya telah memulakan satu program
gotong-royong yang melibatkan generasi muda yang dikenali ‘Sukarelawan Kuala
Lumpur 2017’ bagi menjaga kebersihan kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan.
 “Kami (kementerian) ditugaskan untuk memastikan kebersihan di sekitar Kuala
Lumpur berjalan lancar sempena Sukan SEA nanti.
“Program ini bertujuan memperbaiki segala landskap di sekitar Kuala Lumpur
dan Putrajaya, antaranya mengecat semula jalan-jalan termasuk membaik pulih
penghadangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Penyerahan Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan di Wilayah Persekutuan
Tahun 2017 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus memberi bantuan yang
diperlukan Kementerian Belia dan Sukan termasuk di gelanggang pertandingan,
perkampungan sukan dan hotel-hotel penginapan.
“DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan memastikan kebersihan dan
kemudahan di sekitar gelanggang pertandingan, perkampungan sukan dan hotel
penginapan dijaga dengan baik.
“Selain itu, beberapa papan tanda juga dipasang untuk memberi kesedaran
kepada masyarakat di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta pelancong yang datang
ke Malaysia mengenai penganjuran Sukan SEA ini,” katanya. – WD MY