KUALA LUMPUR, 7 JULAI – TEPAT….. Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempunyai asas apabila mempelawa semua parti Melayu untuk menyertai Bersatu, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin

“Saya fikir sebab di sebalik (pelawaan) adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan dengan serius.

“Beliau (Mahathir) bimbang politik Melayu terlalu berpecah belah, yang mana memang betul,” kata Khairy semasa sidang akhbar selepas bercakap di sebuah forum di Kuala Lumpur.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengekalkan gabungan politik pelbagai kaum sementara pada masa yang sama menyatukan orang Melayu di dalamnya.

“Saya tahu ramai orang hari ini menolak apa yang diperkatakannya semalam dan saya fikir itu sedikit angkuh.

“Kita mungkin tidak bersetuju dengan Dr Mahathir mengenai banyak perkara tetapi mengenai isu Melayu yang berpecah, saya fikir itu betul,” kata Khairy.

Mahathir semalam mempelawa semua parti Melayu, termasuk Umno menyertai Bersatu dalam usaha menyatukan orang Melayu dan memastikan mereka memenangi pilihan raya umum.

Ini kerana katanya, orang Melayu terlalu berpecah belah dengan kewujudan banyak parti Melayu.

Khairy menolak pendirian yang menyatakan bahawa Bersatu sepatutnya menyertai Umno dan bukan sebaliknya.

“Itu adalah perkara yang akan datang, ini bukan satu pertandingan mengenai siapa yang ada parti terbesar. Ini adalah sesuatu yang lebih fundamental,” tegasnya.

Ditanya sama ada beliau sendiri terbuka dengan idea agar Umno menyertai Bersatu, Khairy berkata beliau tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku namun ia tidak sepatutnya menyebabkan barisan pembangkang menjadi lemah.

“Jadi saya tidak tahu […] mungkin jika Umno mahu menyertai Bersatu saya akan tetap sebagai ahli pembangkang tunggal,” katanya.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pagi ini berkata perpecahan politik Melayu bermula apabila Mahathir menubuhkan Bersatu dan menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Sementara Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Mahathir dan Bersatu sebaliknya perlu menyertai Umno dan PAS dalam usaha untuk menyatukan orang Melayu.

Bersatu dibentuk selepas berlaku perbalahan antara Mahathir dan bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung kepimpinan Umno dan skandal 1MDB.

Pada masa ini, selain Bersatu dan Umno, parti lain berasaskan Melayu ialah PAS, Amanah, Putra dan Ikatan.

PKR yang merupakan parti berbilang kaum juga mempunyai sejumlah besar anggota Melayu dan merupakan serpihan Umno. – WD MY