KUALA LUMPUR, 29 Nov – GANGGU…. Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan berlaku kebocoran dokumen rakaman percakapan membabitkan kes seorang bekas exco di media sosial.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan menyifatkan ia dikhuatiri menganggu prosiding mahkamah kerana kes itu masih dalam perbicaraan.

Beliau berkata, dokumen kenyataan rakaman percakapan seorang tertuduh diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan itu, SPRM berpendapat ia telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

“SPRM akan membuat satu laporan polis berhubung pembocoran itu supaya mereka yang bertanggungjawab menularkan dokumen itu diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Pembocoran kenyataan sedemikian bersifat prejudis memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, tuduhan itu dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai dari DAP, Wong Shu Qi, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Ketika membahaskan ucapan Bajet Johor 2018, Shu Qi mengeluarkan kenyataan yang didakwa dipetik daripada laman web dengan mengatakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled dituduh menerima sejumlah wang berkaitan isu perumahan pada Mac lalu.

Beliau seterusnya meminta Menteri Besar menjelaskan kebenaran tuduhan itu.

Tindakan itu seterusnya menyebabkan DUN Johor kecoh hampir 20 minit apabila lebih 10 wakil rakyat BN meminta Shu Qi menarik balik kenyataan itu, namun beliau enggan berbuat demikian dengan mengatakan kenyataan beliau itu bukan tuduhan.

Shu Qi kemudian diarah keluar daripada persidangan DUN Johor oleh Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Kebocoran maklumat itu berkaitan kes bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor yang didakwa atas pertuduhan bersubahat bersama seorang perunding hartanah membabitkan wang suapan bernilai RM30.3 juta. – WD MY