BAGAN DATUK, 27April – SPR…… Kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu diberikan pada tahap paling tinggi dalam melaksanakan undang-undang negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini kerana SPR melaksanakan undang-undang dan peraturan sedia ada yang telah dibahaskan di Parlimen oleh anggota Parlimen yang merupakan pembuat dasar dan penggubal undang-undang di negara ini.

“Mana mungkin kalau SPR merancang untuk hanya membenarkan kerajaan yang sedia ada terus berkuasa kerana (kerajaan) Barisan Nasional (BN) kehilangan di negeri Kelantan selama 28 tahun, Pulau Pinang, Selangor dan satu ketika kita pernah kehilangan buat sementara waktu di Perak.

“…. bagaimana kalau sebuah suruhanjaya yang bebas begini memihak kepada seseorang, mustahil negeri-negeri itu jatuh ke tangan pembangkang, jadi ketelusan ini harus diterima oleh semua pihak,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek menaik taraf laluan FT069 dari Simpang Empat Hutan Melintang ke Pekan Bagan Datuk dan Persimpangan Bertingkat FT005 – FT069 Simpang Empat Hutan Melintang semalam.

Ahmad Zahid diminta mengulas berita palsu yang tersebar di media sosial kononnya SPR menggunakan pensel untuk kertas penandaan undi, membawa kertas undi keluar oleh petugas SPR dari balai polis tanpa kebenaran serta teks berkaitan kertas undi mempunyai titik hitam.

Menurut Ahmad Zahid, berita palsu yang tersebar itu perlu ditolak oleh rakyat kerana SPR mempunyai akta tersendiri serta mempunyai peraturan yang telah diguna pakai sejak sekian lama.

“Apabila adanya berita palsu yang mengatakan SPR menggunakan pensel bagi menandatangan dan juga permarkahan undi-undi yang berkenaan, ia adalah berita palsu yang harus ditolak kerana SPR sekarang menggunakan dakwat untuk para pengundi.

“Tidak ada negara maju lain yang menggunakan dakwat kekal untuk para pengundi seperti mana yang dilaksanakan oleh SPR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

“Jangan fikir SPR adalah sebuah suruhanjaya yang boleh diperkotak-katikkan oleh mereka yang mempertikaikan sistem pelaksanaan demokrasi di negara ini kerana SPR telah melakukan yang terbaik mengikut acuan (undang-undang) di Malaysia dan kita tidak boleh mengikut telunjuk satu atau dua berita palsu yang keluar dan menuduh itu dan ini,” katanya.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang dinamakan calon BN untuk kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU14, berharap masyarakat jangan percaya dengan berita berkenaan kerana kredibiliti SPR adalah keutamaan untuk menentukan bahawa perkara tersebut dilaksanakan dengan sebenarnya. – WD MY