KUALA LUMPUR, 10 Sept – Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata bidang kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan mampu menjadi jambatan dalam mengeratkan hubungan sesama negara anggota ASEAN bagi merealisasikan integrasi serantau yang sedang diusahakan kumpulan 10-negara itu.

Menurut beliau, selain bidang ekonomi, aspek kebudayaan dan kesenian juga harus diberi perhatian kerana ia boleh mewujudkan perpaduan antara negara anggota yang mempunyai banyak persamaan dalam bidang itu.

“Jika kita hendak melihat komuniti ASEAN berkembang maju, kita tidak boleh hanya mengharapkan bidang ekonomi dan politik semata-mata, mungkin rentas budaya dan bahasa juga perlu ditekankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Diversecity 2015 Kuala Lumpur International Arts Festival di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di sini, malam ini yang turut dihadiri Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayinto.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2015. Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Festival seni antarabangsa yang berlangsung lima hari itu menampilkan lima pemain monolog terkemuka mewakili negara masing-masing dalam pementasan monolog iaitu Khalid Salleh dari Malaysia, Asia Ramli Berpanca (Indonesia), Patr Weera (Thailand), Zefri Ariff Brunei (Brunei) dan Noor Hasnah Adam (Singapura).

Festival julung kali itu turut menyaksikan pelancaran buku antologi drama pentas berjudul “Monolog 5 Negara”, terbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Mengenai festival itu, Reezal Merican berkata ia mampu menjadi langkah permulaan dalam menyemarakkan keharmonian sastera, seni dan budaya antara negara-negara ASEAN dengan lebih 630 juta penduduknya.

Komuniti ASEAN, yang penubuhannya ditetapkan pada penghujung 2015, antara lain akan mewujudkan integrasi serantau mendalam dan meluas untuk membolehkan ASEAN menjadi lebih berdaya saing di peringkat global. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY