KECEWA WAN AZMI KELUAR UMNO

KECEWA WAN AZMI KELUAR UMNO

811
0

IPOH,JUN 25: KECEWA…Kepimpinan UMNO Perak melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan Noor Azmi itu amat mendukacitakan berikutan tiada sebarang perbincangan dilakukan terlebih dahulu dengan pihaknya sebelum tindakan keluar parti dibuat.

Menurut Zambry, ia secara tidak langsung memberi gambaran sebenar bahawa keputusan yang dilakukan oleh Noor Azmi itu adalah demi kepentingan peribadi dan bukannya untuk rakyat seperti didakwa.

“Tindakan itu amat mengecewakan kerana beliau bertanding atas tiket BN. Walau apa pun alasannya, beliau tidak mungkin menang atas dirinya sekiranya bertanding sebagai calon Bebas sebelum ini.

“UMNO dan rakyat memberi kepercayaan pada beliau namun, hari ini beliau menggunakan pelbagai alasan untuk bertindak keluar parti. Jadi sebenarnya dia buat begitu untuk dirinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Khas Bersama Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan UMNO Negeri Perak di sini hari ini.

Semalam, Noor Azmi mengisytiharkan keluar UMNO dan BN untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.-MY WD