ALOR SETAR, 21 Sept – Kedah hari ini akan berkabung selama tujuh hari
sehingga 27 Sept berikutan kemangkatan Raja Puan Muda Tunku Hajah Raudzah binti
Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, 86, pada 10.15 pagi tadi.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang membuat
pengisytiharan kemangkatan itu di Wisma Darulaman hari ini berkata, Raja Puan Muda Kedah
mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat gering.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada Duli Yang
Teramat Mulia Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah
serta seluruh Kerabat DiRaja,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, jenazah Tunku Hajah Raudzah akan disembahyangkan di Dewan
Penghadapan, Istana Anak Bukit pada 3 petang ini dan disemayamkan untuk
penghormatan terakhir di tempat yang sama mulai 4 petang hingga 5 petang.

Jenazah Raja Puan Muda Kedah itu kemudiannya akan dimakamkan di Makam DiRaja
Langgar pada jam 6 petang.

Menteri Besar berkata, jenazah Tunku Hajah Raudzah akan dibawa ke Makam
DiRaja melalui jalan-jalan Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dan
Jalan Langgar.

Bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain, katanya, hendaklah dikibarkan
“Separuh Tiang” selama tiga hari bermula hari ini, manakala sepanjang tempoh
perkabungan semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan dibatalkan.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY