ALOR SETAR,JULAI 12:PENYAKIT… Kedah mencatatkan sebanyak 834 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkodkan sepanjang tahun ini sehingga 7 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata jumlah itu meningkat sebanyak 32.4 peratus di mana sebanyak 630 kes HFMD dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, meskipun terdapat peningkatan kes namun tiada pusat jagaan, sekolah mahupun taska ditutup di negeri ini tiada jangkitan yang serius atau kematian dilaporkan.

“Daripada 834 kes HFMD itu, daerah yang menunjukkan peningkatan kes adalah di Pendang dengan 120.7 peratus, Langkawi (118.8 peratus) dan Kuala Muda (105.3 peratus).

“Bagi menghalang penularan virus HFMD, JKN Kedah menggesa orang ramai sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan digunakan kanak-kanak dan membuat saringan di pintu masuk mana-mana premis berkaitan kanak-kanak.

“Selain itu, mereka juga harus mengamalkan kebersihan diri menguruskan kanak-kanak, memastikan kebersihan tandas dan membuang lampin pakai buang di tong sampah bertutup,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Dr Norhizan berkata, ibu bapa atau pengasuh yang mempunyai tanda jangkitan HFMD diminta supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah selain memastikan anak berada di rumah dan tidak membawa mereka ke tempat awam.

Katanya, penyakit HFMD mudah berjangkit dalam kalangan kanak-kanak kerana adanya hubungan dekat dengan virus merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis kes.

“Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dan hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari, namun ada juga boleh mengakibatkan komplikasi teruk.

“Sehingga kini, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD, ” katanya.-MY WD