Kedah Edar Kotak Barakah Kepada Lebih 150,000 Keluarga Yang Memerlukan

0
187

ALOR SETAR, 21 Nov – EDARKAN….  Lebih 150,000 keluarga golongan memerlukan di negeri ini mendapat manfaat daripada pemberian kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) yang mengandungi barangan keperluan makanan susulan pelancaran Program Barakah pada April tahun lepas, membabitkan peruntukan RM15 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata 50,000 keluarga telah menerima bantuan berkenaan manakala 100,000 keluarga lagi akan menerimanya sehinggalah tahun depan.

“Satu kotak Barakah yang mengandungi makanan ini bernilai RM100 dengan berat 25 kilogram. Jadi kita peruntukan RM15 juta bagi bantuan kotak makanan ini kepada 150,000 keluarga untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” kata Mohd Tajudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

Mohd Tajudin berkata pemberian kotak itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk meringankan beban kumpulan sasar itu tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sememangnya begitu cakna terhadap kebajikan semasa rakyat terutama golongan miskin bandar, luar bandar dan miskin tegar dengan sentiasa mencari langkah penyelesaian terbaik membantu mereka.

Untuk rekod, Program Barakah mempunyai lima kategori iaitu Barakah Insan, Masyarakat, Usaha Niaga, Anak Muda dan Pendidikan serta Modal Insan dengan pelaksanaan kotak makanan itu termasuk di bawah kategori Barakah Insan.

Sehubungan itu, Mohd Tajudin meminta rakyat negeri ini untuk terus memberi sokongan dan peluang kepada UMNO dan BN menerajui negeri ini kerana telah terbukti bekerja kuat melakukan yang terbaik dalam aspek menjaga kebajikan golongan memerlukan supaya nasib kumpulan sasar itu terus terbela dengan pelbagai bantuan. – WD MY