SHAH ALAM, 21 Mei – Juara…… Kedah muncul juara Piala FA buat kali keempat selepas menang tipis 3-2 ke atas Pahang pada aksi final penuh dramatik di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen membuka tirai jaringan skuad Lang Merah pada minit ke-20 setelah menerima hantaran daripada pemain sayap, Mohd Syazwan Zainon.

Perancang tengah, Baddrol Bakhtiar muncul wira pasukan Kedah apabila meledak dua jaringan pada minit ke-45 dan 72, hasil rembatan leret dalam kotak penalti dan tampanan mudah di hadapan pintu gol Pahang setelah menerima hantaran lintang Syazwan untuk meletakkan Kedah selesa mendahului 3-1.

Dua gol Pahang dijaringkan dua pemain import mereka, Heo Jaeowon pada masa kecederaan babak pertama perlawanan menerusi tandukan menarik hasil sepakan sudut Ahmad Syamim Yahya, serta Mohamadou Sumareh pada minit ke-80.

Sokongan padu ‘Elephant Army’ gagal membantu skuad Tok Gajah untuk menyamakan kedudukan setelah Sumareh hampir menyumbat gol penyamaan pada lewat permainan, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Keputusan 3-2 itu kekal sehingga ke wisel penamat oleh pengadil Nagor Amir Noor Mohamed.

Selaku juara, Kedah membawa pulang trofi Piala FA yang disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama menyaksikan aksi final berkenaan adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah. – WD MY