Kedah Ulangi Sejarah Apabila Bertemu Selangor Di Finale Piala Malaysia

0
55

ALOR SETAR, 7 Dis – Juara Liga Perdana, Kedah mengulangi sejarah pertemuan pada 2008 apabila bakal berentap dengan Selangor bagi merebut Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemangku Jurulatih Kedah, Ramon Marcote amat gembira dengan kejayaan
besar pasukan Kedah, mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan pasukan Felda
United dengan agregat 4-3.

Beliau berkata pasukannya tidak akan mensia-siakan peluang beraksi pada
peringkat akhir dengan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan
berpihak kepada pasukan Kedah.

“Kita tahu Selangor adalah pasukan kuat dari Liga Super tetapi dengan tahap
keyakinan pemain Kedah, kita yakin mampu mengatasi pasukan Selangor,” katanya
pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua, malam tadi.

Ramon berharap pemain skuad Helang Merah dapat mengekalkan momentum dan
keyakinan tinggi agar dapat mengharungi 90 minit perlawanan akhir apabila
bertemu pasukan Selangor kelak.

Mengenai Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, Ramon berkata beliau sering
berhubung dengan Tan yang berada di China bagi membincangkan pelbagai perkara
terutamanya mengenai strategi perlawanan.

“Kami amat serasi dan kami ada matlamat sama untuk membawa pasukan ke
peringkat akhir Piala Malaysia. Apa yang terjadi saya perlu menangkan pasukan
dan apa yang berlaku Tan perlu tahu,” katanya yang juga jurulatih kecergasan
Kedah. – Sofea Nawar (WD MY)