BENTONG, 26 FEB – RUGI… Sebuah kedai emas di Genting Highlands di sini menanggung kerugian RM2.89 juta selepas cincin berlian jenis ruby yang dijual di kedai berkenaan ditukar dengan sebentuk cincin berlian palsu oleh seorang lelaki yang kononnya mahu membeli barang kemas berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, suspek berusia lingkungan 50-an, dipercayai warga China datang ke kedai emas berkenaan kononnya untuk membeli barang kemas yang dijual di situ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek kemudian meminta seorang jurujual berusia 45 tahun untuk mengeluarkan sebentuk cincin berlian jenis ruby seberat lima karat.

“Suspek kononnya mahu melihat cincin permata itu terlebih dahulu sebelum membeli. Namun selepas kira-kira 20 minit suspek melihat cincin itu, dia menyatakan tidak mahu membeli sebelum menyerahkan kembali barang kemas berkenaan kepada jurujual sebelum terus beredar dari kedai.

“Pada masa yang sama, jurujual berkenaan perasan terdapat sedikit perbezaan terhadap cincin berlian yang diberikan oleh suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, jurujual itu kemudian meminta rakan sekerjanya untuk membuat ujian ketulenan dan mendapati cincin berlian yang diberikan suspek itu adalah palsu.

“Jurujual berkenaan cuba mengejar suspek namun gagal kerana dipercayai sudah melarikan diri. Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sejurus kejadian,” katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah dengan meminta mangsa menyerahkan cincin berlian dengan alasan ingin membelinya sebelum menukarkan dengan cincin berlian palsu yang 99 peratus menyerupai yang sebenar.

“Polis kini sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) selain merakam percakapan saksi termasuk jurujual berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – WD MY