AMMAN, 30 Mei – NASIHAT…… Raja Abdullah dari Jordan memaklumkan kepada penasihat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Jared Kushner bahawa perdamaian berkekalan di Asia Barat hanya boleh dicapai menerusi penubuhan negara Palestin di atas tanah yang dijajah Israel pada perang 1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Menurut pegawai Rumah Putih, semalam, Kushner mengetuai delegasi AS ke Asia Barat, minggu ini, untuk meraih sokongan bagi satu persidangan bertujuan membantu penduduk Palestin, Jun depan.

Menurut kenyataan istana, Raja Abdullah amat bimbang dengan rancangan rahsia AS untuk menamatkan konflik Arab dan Israel.

Beliau memaklumkan kepada Kushner bahawa Israel perlu berundur dari Tebing Barat yang berada di bawah kawalan Jordan. Kawasan itu ditawan Israel dalam perang Arab-Israel pada 1967.

“Raja menekankan keperluan perdamaian komprehensif dan berkekalan berasaskan penyelesaian dua negara yang membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan istana.

Difahamkan, Jordan bimbang pelan damai itu akan menjejaskan penyelesaian dua negara, formula AS dan antarabangsa sejak sekian lama yang memperuntukkan negara Palestin bebas bersama Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza.

Pegawai AS berkata, kunjungan itu bermula di Rabat dan akan membabitkan Baitulmaqdis bertujuan meraih sokongan untuk persidangan pada 25 dan 26 Jun depan di Bahrain.

Difahamkan, Kushner akan mendedahkan bahagian pertama pelan damai Israel dan Palestin di bawah pentadbiran Trump. -WD MY