SHAH ALAM,OKTOBER 23: MEDIA MASA…. Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui media massa ketika ini lebih bebas.

Perdana Menteri berkata, sepanjang beliau menjawat jawatan itu selama 22 tahun sebelum ini pun, beliau sentiasa bersedia bertemu dengan pihak media.

“Saya tidak pernah tolak media. Selama 22 tahun jadi Perdana Menteri, bila media nak jumpa, saya jumpa. Sekarang ini lebih dari itu kerana media sudah bertambah, tidak seperti dulu. Dulu ada dua stesen televisyen saja sekarang ada 10.

“Kita kena ada interaksi dengan media barulah kita tahu apa yang rakyat fikir dan tidak senang hati, dengan adanya media, baru kita akan lebih jelas.

Dr Mahathir berkata, pertemuan dengan pihak media juga memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan sesuatu isu dan perkara.

Katanya, jika pihak media tidak bertanyakan isu kepadanya, beliau tidak boleh menjawabnya.

Pada masa sama, tambah beliau, kerajaan juga perlu bersikap toleran dan mendengar pendapat orang lain termasuk pembangkang.

Katanya, beliau berpendapat kehadiran parti lawan juga penting kerana mereka bertindak seperti cermin kepada kerajaan.

“Kalau parti lawan ditutup mulutnya, tak guna, kerana dia menjadi seperti cermin kepada kita. Kalau tidak ada parti lawan buat teguran, kita akan menyeleweng.

“Kalau teguran yang dibuat itu tidak berasas, kita boleh jawab, bila kita boleh jawab orang ramai akan dapati teguran itu tidak kena,” katanya.-MY WD