PUTRAJAYA, 25 Nov – Hanya Sementara Waktu…….. Kejatuhan nilai ringgit ketika ini hanya untuk jangka masa pendek dan mata wang negara akan kembali mengukuh tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata ekonomi Malaysia sedang kukuh dengan pelaburan masuk ke dalam negara semakin meningkat, selain pelbagai program yang akan dilaksanakan kerajaan tahun depan.

“Harga minyak juga stabil dan tidak berada di bawah paras AS$40 (setong), pertumbuhan bagi suku tahun ketiga juga kukuh dan projek pembangunan infrastruktur juga sedang rancak berjalan.

“Saya tidak nampak kenapa perlu ada kebimbangan (mengenai kejatuhan nilai ringgit). Sudah tentu ada sedikit gangguan dalam pasaran dagangan tapi ia akan kembali pulih dan ringgit akan lebih kukuh,” katanya kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Kod Kebangsaan (II) 2016 di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kebimbangan umum mengenai nilai ringgit yang semakin menyusut berbanding dollar Amerika.

Irwan juga meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan khabar angin yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pelabur asing, sekali gus menjejaskan pelaburan ke dalam negara. – WD MY