KUALA LUMPUR, 8 Feb – PERTUMBUHAN….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kejayaan Malaysia dalam mengurus pertumbuhan bandar utamanya yang membangun dengan pesat, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan kejayaan program transformasi dilaksanakan kerajaan.

Najib berkata, apa yang dikecapi Malaysia hari ini mencerminkan trend pembangunan sama seperti yang berlaku pada negara Asia dan Afrika berdasarkan laporan Agenda Perbandaran Baharu di Quito pada tahun 2016.

Pengalaman di Malaysia mencerminkan trend pertumbuhan bandar negara ini di bawah paras 30 peratus pada tahun 1970-an, kini berada pada kadar 75 peratus dan dijangka meningkat kepada 85 peratus pada tahun 2050.

“Seperti kebanyakan negara lain, kami menghadapi pelbagai cabaran dan berjaya menguruskan transformasi bandar yang berkembang dengan rancak.

“Kami dibantu dengan asas ekonomi yang kukuh, Program Transformasi Ekonomi yang kerajaan saya laksanakan pada tahun 2010 mewujudkan 2.26 peluang pekerjaan, yang mana satu juta daripada itu adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Inflasi dan pengangguran pada paras rendah. Kami menurunkan defisit daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada tiga peratus pada tahun lalu.

“Syukur dengan pendekatan (diambil kerajaan) yang kukuh dan pro-aktif, kami pulih dengan cepat daripada krisis global antara tahun 2008 hingga 2009, dan kami menikmati tempoh pertumbuhan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) anjuran Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Forum dengan tema Bandar 2030, Bandar Untuk Semua: Me­laksanakan Agenda Bandar Baharu itu disertai 89 Menteri dan Timbalan Menteri dari 61 negara serta 24,700 delegasi dari 192 ­negara.

Forum dwitahunan ini juga adalah platform untuk membincangkan dan membentangkan komitmen, strategi dan inovasi, mengenal pasti peranan institusi serta meneruskan perkongsian dalam pelaksanaan Pembangunan Mampan dan Pelan Tindakan Agenda Bandar Baharu (NUA).

Najib turut berkata, kerajaan juga sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat yang tinggal bandar seperti mewujudkan program membina ribuan rumah mampu milik untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Malah katanya, kerajaan hanya mengenakan caj rawatan serendah RM1 di Klinik 1Malaysia, mengecualikan cukai kepada barang makanan tertentu, menyediakan kursus latihan dan pelbagai inisiatif termasuk insentif perniagaan khasnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Walaupun bandaraya Kuala Lumpur terkenal di seluruh dunia, menjadi bandar ke-10 yang sering dilawati di dunia, keenam terbaik pilihan tempat bersara, manakala Georgetown di tempat ke-10, kami sentiasa memastikan kehidupan rakyat Malaysia di bandar menikmati kualiti hidup yang baik dan lestari untuk generasi akan datang.

“Itulah sebabnya kami melabur dalam bidang pengangkutan awam seperti Mass Rapid Transit (MRT) di Lembah Klang dan Sistem Transit Rapid yang saya dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong setuju dibina menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

“Ia adalah bidang yang diabaikan pada masa lalu, kerana terlalu mengutamakan industri pembuatan kereta. Bandar kita perlu sesuai didiami dan juga lestari,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mahu seluruh rakyat berkongsi dalam ekonomi digital dan meningkatkan lagi kadar penembusan internet dengan menyasarkan liputaan jalur lebar mencapai 95 peratus pada tahun 2020 dan 100 peratus pada tahun 2050. – WD MY