PUTRAJAYA,OKTOBER 8:KEJAYAAN…. Pasangan suami isteri sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin menyifatkan kemenangan mereka dalam kategori Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular sebagai kenangan paling manis.

Pasangan itu berkata, drama Hero Seorang Cinderella sangat bermakna kerana mempertemukan mereka, seterusnya melangkah ke jenjang pelamin.

Lebih manis, drama itu turut menghadiahkan mereka trofi kategori online, Pasangan Serasi Drama, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

“Hero Seorang Cinderella banyak memberikan kenangan manis kerana kami bertemu di lokasi drama itu, bercinta dan seterusnya berkahwin.

“Malam ini, kami menang pula anugerah utama bersama, selain Pasangan Serasi Drama menerusi drama itu.

“Ia memang kenangan paling manis dan melakar sejarah tersendiri buat kami,” katanya.

Sementara itu, Fazura pula melahirkan perasaan terharu atas sokongan tidak berbelah bahagi peminat yang mahu melihatnya melakar kejayaan.

‘Melihat kesungguhan peminat yang mengundi siang dan malam, saya sangat terharu. Menang atau kalah, bukan persoalan. Mereka adalah kekuatan saya,” katanya dalam nada terharu.

Sementara itu, Zul Ariffin yang memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular mengakui, sedikit sebak kerana teringatkan ibunya yang meninggal dunia, beberapa bulan lalu.

“Tahun lalu ketika saya menang anugerah ini, saya dapat mengucapkan terima kasih dan meluahkan rasa cinta kepadanya. Tapi, malam ini saya tidak lagi dapat buat begitu, ” katanya.

Bagi Emma Maembong yang mengungguli kategori Pelakon Filem Wanita Popular, trofi itu memberinya kekuatan untuk terus mengasah kemampuan di layar perak.

“Sebelum ini,saya memang takut untuk berlakon filem. Disebabkan filem Kimci Untuk Awak, saya mula jatuh cinta kerana ia sesuai dengan karakter saya.

“Selepas ini, saya lebih yakin untuk berlakon filem. Jadi, jangan segan-segan jika ada pihak berminat memberikan saya tawaran berlakon filem,” katanya.-MY WD