BANGKOK,  28 Mac  – BENTUK….  Kejayaan Parti Prachachart menembusi kubu kuat Parti Demokrat di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand pada pilihan raya umum (PRU)  negara itu Ahad lepas adalah disebabkan rakyat mahukan perubahan.

Ketua Parti Prachachart Wan Muhammad Nor Matha berkata penduduk di wilayah terbabit mengimpikan keamanan dan pembangunan ekonomi untuk meningkatkan  taraf hidup mereka.

“Parti Prachachart merupakan sebuah parti yang  rapat dengan penduduk di selatan Thailand lebih-lebih lagi ketua partinya penduduk tempatan.  Ini antara sebab penduduk menyokong parti ini walaupun ia masih baru,” katanya.

Pada PRU itu, parti berkenaan menguasai enam daripada 11 kerusi yang dipertandingkan di Pattani, Narathiwat dan Yala sementara Demokrat yang sebelum ini memenangi sembilan kerusi hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di Pattani.

Parti pro-junta Palang Pracharath pula menang tiga kerusi dan baki satu lagi milik Bhumjaithai.

Parti Prachachart yang juga dikenali sebagai Parti UMMAH  ditubuhkan pada September tahun lepas.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Nor yang bekas timbalan perdana menteri Thailand, berkata Parti Prachachart merupakan sebuah parti politik “untuk rakyat semua kaum dan agama” dan ia akan menepati janji-janji pilihan raya.

“Keselamatan dan ekonomi merupakan dua perkara penting yang perlu segera dilaksanakan kerana ia adalah sesuatu yang diimpikan pengundi selama ini.

“Penduduk tempatan menaruh harapan tinggi agar kerajaan baharu dapat membawa perubahan,” katanya.

Parti Prachachart merupakan antara enam parti yang menyertai Pheu Thai dan gabungan ini mendakwa mempunyai sekurang-kurangya 255 kerusi bagi membentuk kerajaan Thailand yang baharu hari ini.  – WD MY