BATU PAHAT, 25 April – KEJAYAAN…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejayaan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini, selepas 40 penubuhannya, adalah kejayaan Barisan Nasional (BN).

“PNB diurus dengan profesional. Pengurusannya amat baik penuh komitmen, kesungguhan dan keihlasan. Inilah kejayaan yang dapat kita lihat pada hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Stadium Batu Pahat, hari ini.

“Pemilikan ekonomi Bumiputera diterjemah secara profesional. Ia bermula dengan penubuhan Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), diikuti PNB sebagai syarikat pelaburan dan seterusnya sebuah syarikat pengurusan amanah,” katanya.

PNB ditubuhkan pada 17 Mac, 1978, sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baru kerajaan untuk menggalakkan pemilikan saham dalam sektor korporat dalam kalangan Bumiputera, dan memberi peluang kepada golongan profesional Bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai pewujudan dan pengurusan harta.

Ahmad Zahid berkata jika “ditoleh” 40 tahun dahulu, secara langsung atau tidak, kerajaan BN mempunyai sumbangan kepada kemajuan PNB.

Menurutnya, ia bermula pada sekitar tahun 70-an yang mana pemilikan ekuiti Bumiputera hanya berada sekitar 2.4 peratus dan matlamat 30 peratus segera ditetapkan kerajaan.

“Usaha dimulakan (untuk mencapai matlamat itu) dengan PNB ditugaskan untuk tarik pelaburan melalui pegangan saham,” katanya.

PNB melancarkan skim unit amanahnya yang pertama iaitu Skim Amanah Saham Nasional (ASN) pada 20 April, 1981.

“Ramai yang skeptikal kerana kegagalan pengurusan saham amanah sebelum itu. Saya tidak mahu namakan syarikat itu. Namun, pandangan skeptikal itu dapat diatasi dengan kejayaan, bukti ia boleh dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata beliau “tidak dapat menghidu” apatah lagi mendengar berita negatif berkaitan penyelewengan oleh pihak pengurusan PNB dan syarikat dibawahnya.

“Budaya integriti pengasas PNB telah diikuti sepenuhnya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut menyarankan PNB dan anak syarikatnya yang terbabit dalam sektor perladangan agar dapat terus menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Saya amat menghargai agar syarikat ini dapat berkompromi sedikit, jika pembangunan dapat dilakukan di kawasan yang tertinggal 60 tahun yang lalu, kawasan itu dapat dimajukan,” katanya.

Namun, beliau berharap agar harga jualan ditetapkan di bawah harga pasaran dan bukan mengikut harga pasaran kawasan berkenaan. – WD MY