TEMERLOH,  25 April – Amalan…. Integriti yang tinggi diamalkan dalam tadbir urus Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak ditubuhkan banyak membantu kejayaan dicapainya ketika ini kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1979, PNB secara berterusan memberi manfaat kepada orang ramai melalui pengagihan dividen hasil pelaburan dibuat mereka.

“Ini adalah prinsip (integriti) yang diamalkan pihak pengurusan PNB sejak ditubuhkan dan ia diteruskan sehingga kini, yang menyaksikan PNB memperlihatkan kejayaan yang sangat membanggakan.

“Kalau kita lihat kepada sejarah penubuhan PNB itu sendiri, ditubuhkan dengan nilai modal berjumlah RM200 juta (1979), kini PNB sudah memiliki aset serta pelbagai pelaburan strategik lain yang bernilai RM266 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 (MSAM2017) di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Kira-kira 200,000 pengunjung sudah mengunjungi MSAM 2017 sejak dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selain itu, Ahmad Zahid juga memuji keupayaan PNB dalam menukar persepsi dan sikap rakyat Malaysia serta mewujudkan gelombang untuk menabung secara sukarela.

“Corak atau kaedah menyimpan secara sukarela rakyat Malaysia terlalu rendah. Tetapi gelombang PNB, berjaya mengubah tabiat ini kepada menyimpan secara sukarela kerana wujud kesedaran untuk memperoleh keuntungan.

“Kajian baharu menunjukkan sikap menyimpan rakyat kita adalah sebanyak 38 peratus yang merupakan satu pencapaian. Di negara maju, peratus mereka adalah 40 peratus. Kita hanya memerlukan dua peratus sahaja lagi (untuk berapa pada tahap yang sama).

“Saya percaya apabila ekonomi semakin kukuh dan kempen kesedaran dilakukan dengan baik, ia akan meningkatkan sikap menyimpan secara sukarela dan kita akan berada pada tahap seperti negara maju,” katanya.

Secara peribadi, katanya beliau melihat pulangan dividen kepada pemegang saham oleh PNB dan kumpulan syarikatnya sebagai ‘amat memberangsangkan’ sejak penubuhannya sehingga tiga bulan pertama tahun ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM157.5 bilion.

Ahmad Zahid yang pernah berkhidmat di PNB di bawah Skim Amanah Saham Nasional (ASN) bermula 2 Julai 1979 hingga 2 Feb 1985, berkata beliau banyak belajar daripada pengalamannya di PNB walaupun dalam tempoh singkat.

Menyifatkan Ismail sebagai seorang ketua yang menggariskan kaedah dan teori pengurusan baharu, ‘management by fear’, Ahmad Zahid berkata peneraju pertama PNB itu amat dihormati kerana sering menggunakan kata-kata yang menggerunkan walaupun seorang yang ‘soft spoken’.

“Beliau (Ismail) katakan sebuah organisasi yang menjadi kepercayaan rakyat jangan pernah dikompromikan dari segi integriti. Walaupun tempoh saya singkat, namun saya menggunakan kaedah pengurusan beliau sehingga sekarang,” katanya.

Beliau turut memuji penganjuran MSAM 2017 yang berjaya menarik seramai 183,426 pengunjung sejak lima hari lalu, melebihi sasaran awal 150,000 orang. – WD MY