LONDON, 10 Nov – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia akan berkongsi pengalamannya dengan United Kingdom dalam program deradikalisasi terhadap kumpulan pengganas dan pelampau Islam.

(Deradikalisasi adalah tindakan mengubah kepercayaan ekstrem dalam kalangan anggota militan seperti mati syahid dalam perjuangan)

Ahmad Zahid berkata United Kingdom tertarik dengan model program deradikalisasi diamalkan oleh Malaysia, yang terbukti menghasilkan 95 peratus kejayaan memulihkan pihak yang berkenaan.

“Program ini kita telah laksanakan sejak zaman darurat pada 1948 dan ia diperkemaskan dari semasa ke semasa apabila Malaysia berhadapan dengan pelbagai kumpulan pengganas dan pelampau agama,” katanya kepada media Malaysia sempena lawatan beliau ke United Kingdom pada hari kedua lawatan tersebut.

Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke United Kingdom,
pada sebelah pagi ini mengadakan pertemuan tertutup dengan agensi keselamatan
United Kingdom.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata akan mengundang Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom Theresa May untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Melampau di Malaysia, yang dijadualkan pada 25 dan 26 Jan tahun depan.

Tambah Ahmad Zahid, United Kingdom, akan menghantar pegawainya ke Malaysia tidak lama lagi sebagai susulan untuk mempelajari model Malaysia dalam program deradikalisasi itu.

United Kingdom dan Malaysia juga bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama dalam soal penghantaran pulang individu yang terlibat dalam kegiatan keganasan yang melibatkan rakyat dari kedua-dua negara.

Pengukuhan dalam kerjasama menangani ancaman jenayah rentas sempadan itu akan melibatkan penghantaran pulang individu yang terlibat dalam kumpulan Daesh (pengganas) (dulunya dikenali kumpulan militan IS) terutamanya di Syria dan Iraq yang melibatkan rakyat dari kedua-dua negara. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY