LANGKAWI, 1 Nov – Media tempatan memboikot liputan Kejohanan
Paintball Piala Dunia 2015 (PWC 2015) yang berakhir di sini hari ini selepas
mendakwa dianaktirikan oleh pihak penganjur kejohanan tiga hari itu.

Wartawan dari media cetak dan elektronik kecewa dengan tahap layanan
penganjur yang didakwa hanya menumpukan perhatian terhadap media asing di venue
pertandingan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Selepas membuat liputan perasmian pada malam Khamis dan hari pertama
kejohanan pada hari berikutnya, mereka mengambil keputusan untuk memboikot
kejohanan hari kedua semalam dan final, hari ini.

Kejohanan edisi kelima itu, anjuran bersama Kelab Belia Darul Aman dan Kelab
Sukan Paintball Siri Liga Asia, disertai oleh 138 pasukan daripada 38 negara
termasuk Malaysia.

Seorang petugas media tempatan, Mohd Asraf Zulkafli, berkata mereka tidak
berpeluang menggunakan kemudahan di pusat media di MIEC yang hanya dikhaskan
untuk media asing sahaja.

“Untuk memasuki kawasan pertandingan pun kami dikenakan pelbagai syarat yang
ketat tetapi anggota media asing bagaikan boleh masuk sewenang-wenangnya,”
katanya di sini.

Menurutnya beberapa petugas media dari Alor Setar, yang disediakan
penginapan oleh pihak penganjur di sebuah hotel di Jalan Pantai Kok di sini,
telah diarah berpindah ke hotel lain semalam, dua hari lebih awal daripada
sepatutnya.

Bagaimanapun, media tempatan, yang disediakan empat bilik itu, tidak selesa
dengan keputusan untuk berpindah ke dua buah bilik di hotel lain yang disediakan
oleh penganjur.

Mohd Afiq Hambali, salah seorang dari petugas media yang menginap di hotel
berkenaan, berkata pihak penganjur tidak memberikan apa-apa alasan mengapa
keputusan itu diambil dan ini telah menimbulkan masalah kepada mereka.

“Sejak hari pertama lagi saya juga menghadapi masalah untuk menghantar
gambar dengan cepat kerana saya tidak dibenarkan menggunakan kemudahan di pusat
media,” katanya.

Sementara itu, penganjur pertandingan itu tidak dapat dihubungi untuk
mendapatkan ulasan berhubung masalah yang dihadapi oleh media tempatan.

Petugas media berkenaan mendakwa perkara ini bukan perkara baharu kerana
mereka turut menghadapi situasi sama ketika membuat liputan Kejohanan Piala
Dunia Asia di sini tahun lepas.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY