WASHINGTON, 22 Jan – Ciptaan….. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus mencipta kontroversi apabila kek sempena majlis angkat sumpah beliau dikatakan ditiru bulat-bulat daripada kek yang dihasilkan untuk acara sama bagi Barack Obama, beberapa tahun lalu.

Perkara itu didedahkan chef pastri selebriti, Duff Goldman, yang menyediakan kek untuk Obama untuk acara bersejarah itu pada 2013.

Chef berusia 42 tahun itu menggunakan Twitter untuk berkongsi pemerhatian beliau dengan pengikutnya.

Goldman menyiarkan gambar kek yang dihasilkannya untuk Obama bersama-sama kek dihasilkan untuk Trump, yang disediakan syarikat Buttercream Bakeshop.

“Kek di kiri adalah kek yang saya buat untuk majlis angkat sumpah Obama, empat tahun lalu. Di sebelah kanan adalah kek untuk Trump. Saya tidak menghasilkannya,” menurut tweet beliau.

​Buttercream Bakeshp mengaku mereka diminta menghasilkan replika kek dihasilkan Goldman tetapi menafikan ia ‘diciplak.’

“Walaupun kami mahu menghasilkan rekaan asli, apabila diminta meniru hasil kerja seseorang, kami gembira apabila ia adalah sesuatu yang hebat seperti ini,” kata pemilik syarikat itu di Washington, Tiffany MacIsaac menerusi akaun Instagram.

Beliau menjelaskan, semua keuntungan daripada penghasilan kek itu akan didermakan kepada pertubuhan hak asasi manusia.

Beliau memberitahu Washington Post, syarikat itu menerima tempahan beberapa minggu lalu dan pelanggan menegaskan mahu replika kek dihasilkan Goldman.

Kek asal ada sembilan lapisan, setiap satunya mempunyai rasa berbeza dan menampilkan bintang, jalur, logo tentera dan logo presiden. – WD MY