BATU KURAU, 3 Mac – KEKAL…… Penentuan dan pengumuman harga petrol dan diesel yang dilakukan setiap minggu, dikekalkan berikutan ia adalah mekanisme terbaik kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut Hamzah, mekanisma yang dilaksanakan ketika ini memudahkan pengguna untuk mengetahui harga bahan api itu.

“Setakat ini, semua rakyat menerima baik mekanisma pengumuman harga petrol dan diesel pada setiap minggu iaitu pada setiap malam Rabu.

“Jika berlaku turun naik harga, ia hanya sekitar tujuh atau lapan sen sahaja paling tinggi, jadi rakyat sudah faham bahawa ini adalah satu mekanisma yang mengikut harga pasaran dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Arena Pekan Selasa Milik Koperasi Pasar dan Perniagaan Batu Kurau Berhad, hari ini.

Sementara itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, koperasi di negara ini boleh membangunkan projek masing-masing kerana ia dapat membantu ahli menikmati dividen dan apa juga bantuan yang diberikan kerajaan kepada koperasi.

Beliau berkata, terdapat lebih 13,000 buah koperasi di negara ini dengan 31 koperasi sudah dibantu pada tahun lalu dan sebanyak 66 lagi akan dibantu tahun ini. – WD MY