BAGAN DATUK, 28 Feb – KERAJAAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta golongan peladang dan penternak mengekalkan kerajaan sedia ada yang terbukti lebih selesa dan serasi dengan cita rasa mereka.

Ahmad Zahid berkata, pengekalan kerajaan sedia ada membolehkan kesinambungan pembangunan serta penyaluran peruntukan untuk pertanian dapat diteruskan seperti biasa.

Pembangkang mungkin mendakwa mereka boleh mengadakan program yang lebih baik jika diberi kepercayaan memerintah negara.

“(Bagaimanapun) Allah Ta’ala mentakdirkan tiga negeri (ditadbir pembangkang) bukan bawah kita, tetapi tangki air besarnya (sumber kewangan) dari Putrajaya (Kerajaan Persekutuan).

“Jangan harap tukar baju baharu, belum tentu baju baharu sesuai untuk kita, baju lama juga sedap kalau kita badan besar, jangan pakai baju kecil, kalau kecil jangan cari baju besar. Baju sedia ada juga dipakai kerana sedap dan selesa, biar lama sikit tapi selesa.

“Yang kita perlukan keselesaan dan keserasian, buat apa nak tukar,” katanya ketika merasmikan Karnival Jalinan Peladang peringkat negeri Perak semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata apabila rakyat selesa dan serasi dengan kerajaan sedia ada, maka segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau meminta Pertubuhan Peladang di setiap negeri mengadakan program jelajah untuk menterjemahkan agenda kerajaan serta menyeru mendokong kesinambungan kerajaan sedia ada. -WD MY