PUTRAJAYA, 6 Feb – Cabaran……Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia
boleh mengawal kekuatan dalaman untuk menghadapi cabaran ekonomi dunia yang
tidak menentu dengan memberi penekanan kepada kekuatan faktor fundamental.
Perdana Menteri berkata antara faktor fundamental itu ialah kemampuan
kerajaan untuk melaksanakan dan menyampaikan segala projek, program dan bantuan kerajaan kepada rakyat.
Mengingatkan penjawat awam untuk menjadikan tahun 2017 sebagai tahun
penyampaian, katanya, beliau mahu koordinasi yang lebih baik dilaksanakan antara kementerian dan jabatan dalam sistem penyampaian.
“Kita semua terlibat dalam menentukan sistem penyampaian dilaksanakan secara
lebih berkesan kepada rakyat untuk manfaat rakyat,” katanya ketika berucap pada
perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Menurutnya, antara faktor luaran yang tidak menentu yang mendepani Malaysia
adalah seperti pasaran kewangan global yang sukar dikawal serta dasar
pentadbiran baharu Amerika Syarikat yang boleh memberi kesan kepada negara ini
dan dunia dan risiko geopolitik.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata penjawat awam perlu melihat
‘tahun penyampaian 2017’ dari sudut yang lebih menyeluruh dan memberi tumpuan
dalam aspek penambahbaikan sekiranya perlu.
Beliau berkata semua kementerian dan agensi kerajaan perlu meruntuhkan cara
bekerja secara silo.
“Elak sikap terlalu territorial. Kita perlu memberi tumpuan supaya tahun ini
lebih berjaya, kita mesti mengukuh kekuatan dalaman negara,” katanya.
Beliau berkata kekuatan dalaman bukan sahaja dari segi perpaduan nasional,
keharmonian negara dan semangat patrotisme tetapi juga perlu diberikan kepada
sistem penyampaian dan produktiviti sebagai penjawat awam.
“Kita mesti lihat bagaimana keberhasilan kita bertambah serta produktiviti, inovasi dan kreativiti mesti ditekankan,” katanya, sambil menambah
penjawat awam perlu mempunyai minda untuk membuat keputusan cepat dan tepat.
“Semoga tahun ini memberi manfaat dan kesan kepada rakyat Malaysia,”
katanya. – WD MY