KUALA LUMPUR, 11 MAC –  Lapan pengunjung sebuah premis hiburan di Bukit Bintang, di sini, ditahan selepas didapati memiliki minuman bercampur dadah jenis ‘Ice Lemon Tea’ serta serbuk ketamin sama ada untuk tujuan pengedaran atau penggunaan ketika berhibur.

Kesemua lapan pengunjung itu terdiri daripada empat wanita warga China, dua lelaki warga Singapura dan dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, di pusat hiburan ‘Cheery Blossom’ Kompleks Sun, Bukit Bintang, jam 2.45 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketika serbuan dibuat, seramai 73 pengunjung sedang asyik berhibur dalam 15 dari 19 bilik karaoke yang ada dalam premis berkenaan.

“Dalam operasi yang turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) ini, pihak kami berjaya mengesan botol plastik minuman bercampur dadah ‘Ice Lemon Tea’ serta serbuk dadah disyaki ketamin.

“Pada masa ini kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada dadah berkenaan dibawa masuk dari luar atau dijual dalam pusat hiburan berkenaan,” katanya selepas operasi berkenaan selesai dijalankan.

Beliau berkata dalam operasi sama, seramai 44 pengunjung berusia antara 18 hingga 60 tahun turut ditahan selepas didapati positif dalam ujian air kencing selepas dipercayai turut terbabit mengambil dadah semasa berhibur.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki tempatan dan dua lelaki warga Singapura serta sembilan wanita tempatan dan empat wanita warga China,” katanya.

Katanya, turut ditahan 10 wanita warga China dan lima wanita Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan atau GRO.

Mengulas mengenai kesalahan kerana membenarkan penyalahgunaan dalam pusat hiburan yang sama berikutan kekerapan serbuan yang kerap dilakukan sebelum ini, Mazlan memberitahu akan mengusulkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan pembatalan lesen hiburan.

Katanya, serbuan dan pemeriksaan di pusat hiburan dilakukan bagi memastikan elemen pengedaran dan penyalahgunaan dadah, aktiviti berkaitan kongsi gelap dan gengsterisme serta pelacuran dapat dibanteras.