KUALA LUMPUR, 25 Feb – Laporan polis dari Kelab Naib Ketua Bahagian Umno Malaysia kerana tindakan memuat naik gambar ubah suai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbadan seperti anjing.

Menurut Pengerusi Kelab berkenaan, Dato Anuar Mohd Yunus, tindakan itu didakwa “kurang ajar” dan menimbulkan kemarahan ramai.

“Kita desak agar pihak berkuasa, kerajaan menyemak status kerakyatan pengguna tersebut sama ada masih berada dalam negara atau luar negara, ” kata beliau.

Tambah Anuar, “Kami pohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas seperti melucutkan kerakyatan dan sebagainya. Ini satu penghinaan.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Datuk Mutalib Abdul Rahim mewakili Umno bahagian Petaling Jaya Selatan, tindakan Doris Jones memuatkan gambar ubah suai itu amatlah tidak wajar.

“Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik akaun facebook itu dilihat berunsur politik bagi menghilangkan keyakinan terhadap kerajaan dan menjatuhkan martabat pemimpin melayu dan Islam,” kata Mutalib.

Beliau pada masa sama menyeru seluruh 191 Umno bahagian tampil melakukan perkara sama dengan membuat laporan polis di kawasan masing-masing sebagai bantahan terhadap tindakan itu.

Pada dua hari lepas, seorang pemilik akaun facebook telah memuat naik status seolah-olah menyamakan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sebagai seekor anjing. Tindakan itu mendapat kritikan semua pihak seluruh Malaysia dan menggesa tindakan terhadap pemilik berkenaan diambil segera. – Sharini Abdulah/ Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY