KOTA BHARU, 17 Ogos – Larangan…….. Kerajaan negeri Kelantan memutuskan untuk tidak membenarkan permainan Pokemon GO di semua premis kerajaan dan badan berkanun di negeri ini.

Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata arahan rasmi berkaitan perkara itu akan dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan itu diambil atas faktor keselamatan dan berharap semua kakitangan kerajaan negeri mematuhi arahan terbabit.

“Kita tidak membenarkan sesiapa saja bermain Pokemon di semua premis kerajaan negeri seperti di pejabat SUK, Pejabat Tanah, Majlis Daerah, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Jika didapati bermain permainan itu membabitkan kakitangan kerajaan negeri atau orang awam di kawasan terbabit, tindakan disiplin dan tata tertib akan diambil yang dirujuk kepada SUK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini, sebentar tadi.

Mohd Amar berkata, sehingga kini kerajaan negeri belum mengharamkan lagi permainan terbabit kerana menunggu keputusan yang akan diambil oleh jawatankuasa fatwa negeri.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak melarang Pokemon dimainkan di tempat awam dan perkara itu tertakluk dalam bidang pihak berkuasa tempatan (PBT). – WD MY

LEAVE A REPLY