TAPAH, 5 Mei – Nahas….. Tiga cedera dan seorang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 318, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 3.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 23 tahun yang menaiki kereta Proton Saga BLM disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kemalangan membabitkan kereta berkenaan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan dipercayai saling bergesel sebelum Proton Saga BLM itu terbalik manakala MPV terbabas ke tepi lebuh raya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Zulkafli Hamad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 3.46 pagi.

Sebaik tiba, katanya, anggota mendapati seorang mangsa tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Anggota mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mayat kepada polis.

“Kita belum dapat memastikan sama ada mangsa yang meninggal dunia itu pemandu atau penumpang kerana kereta itu dalam keadaan terbalik manakala seorang lagi individu dalam kereta itu cedera.

“Pemandu dan penumpang Naza Ria yang turut cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi. – WD MY