MAKKAH,OGOS 24:KEMALANGAN… “Ia hanya satu kemalangan yang tidak membabitkan kecederaan serius.” Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai kemalangan bas membabitkan jemaah haji Malaysia di sini pada Khamis.

Menurutnya, sembilan jemaah Malaysia, tiga lelaki dan enam wanita cedera ringan dalam kemalangan itu yang berlaku kira-kira jam 8.40 pagi waktu tempatan.

Mujahid berkata, kemalangan membabitkan dua bas yang ketika itu membawa jemaah haji Malaysia dari Mina ke ke Makkah selepas melakukan nafar awal.

“Keadaan jalan ketika itu sangat sesak dan bas yang membawa mangsa tidak sempat menekan brek lalu melanggar satu lagi bas yang membawa jemaah haji Malaysia di hadapan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Menurtutnya, sebaik saja menerima laporan, bilik gerakan Tabung Haji (TH) menghantar pasukan kecemasan yang terdiri daripada petugas perubatan dan kebajikan, bersama-sama pihak muassasah Asia Tenggara bagi memberi pertolongan.

Beliau berkata, sembilan jemaah yang cedera di bahu dan muka kerana terhentak pada kerusi hadapan dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang ke hotel mereka.

“Pasukan perubatan TH turut membuat saringan kesihatan sekali lagi terhadap jemaah lain yang terselamat untuk memeriksa sekiranya ada yang mengalami trauma berikutan kemalangan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta keluarga jemaah haji di tanah air untuk tidak merasa bimbang dengan kemalangan tersebut kerana segala langkah-langkah yang sepatutnya telah diambil oleh pihak TH.-MY WD