KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kembali Ke Jawatan…… Datuk Seri Nazir Razak kembali memulakan semula tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Pengerusi CIMB Group dan Pengarah CIMB Bank berkuat kuasa hari ini.

Menurut kenyataan CIMB, kehadiran semula Nazir dalam pucuk pimpinan tertinggi CIMB, menandakan selesainya semakan menyeluruh yang dijalankan oleh Lembaga Pengarah yang bermula pada 5 April 2016 lalu berhubung aktiviti perbankan yang berkaitan dengan akaun peribadinya seperti mana yang dilaporkan Wall Street Journal pada 31 Mac 2016.

Lembaga Pengarah juga melantik firma audit luaran, Messrs Ernst & Young dan sudah mendapatkan nasihat undang-undang bebas untuk membantu mereka dalam semakan berkenaan.

Bulan lalu, Nazir mengambil cuti sukarela bermula 19 April bagi memastikan semakan integriti dan bebas dilaksanakan.

Hasil semakan itu menunjukkan Nazir Razak tidak menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan pada masa itu selain tiada sebarang penggunaan tidak sesuai daripada sumber-sumber bank itu.

CIMB Group adalah kumpulan perbankan kedua terbesar Malaysia dan antara yang terbesar di ASEAN. Kumpulan perbankan itu kini beroperasi di sembilan daripada 10 negara ASEAN dengan hampir 1,000 cawangan keseluruhan sehingga pada 31 Mac 2016. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY