TENOM, 9 April – KESINAMBUNGAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat di Tenom memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Parlimen itu.

Beliau berkata projek pembinaan Jalan Membakut-Melalap iaitu jalan alternatif dari Kota Kinabalu ke daerah ini akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum sekiranya BN menang.

Katanya, beliau akan meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) agar segerakan pelaksanaan projek itu selepas pilihan raya umum  selain membina satu kompleks sukan di Tenom.

“Oleh itu kena pastikan BN  menang kerusi Parlimen (Tenom) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum ini.

“Jangan ada yang cuba protes dan jangan ada undi rosak kerana bila saya lihat pada PRU12 sebanyak 934 undi rosak di Parlimen Tenom dan jumlah itu meningkat sebanyak 1,258 pada PRU13,” ketika berucap merasmikan Pesta Kalimaran peringkat negeri di Padang Pekan Tenom, di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 10,000 masyarakat berbilang kaum.

— LAGI

 

AHMAD ZAHID-TENOM 2 (AKHIR) TENOM

 

Turut hadir isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) Datuk Rubin Balang, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri  Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Radin Maleh.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menasihatkan kepimpinan BN di Tenom membantu dan menyokong siapa sahaja calon yang dipilih bertanding pada PRU14.

Katanya berdasarkan rekod, majoriti undi kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tenom iaitu Kemabong dan Melalap meningkat pada PRU13 berbanding PRU12.

“Jika trend ini berterusan saya fikir ia memberi keberuntungan kepada rakyat di daerah ini dan saya harap rakyat di Tenom terus menyokong BN kerana pencapaian BN telah terbukti di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta rakyat memastikan suasana aman dan tenteram sepanjang kempen PRU14.

“Kita perlu mewujudkan sifar insiden sepanjang PRU14. Kita mahu di kawasan panas supaya tidak wujud sebarang kekecohan. Marilah kita bersama-sama membantu polis dan agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan ketenangan di seluruh negara,” katanya.