KUALA LUMPUR, 9 Nov – Ambil Tindakan Sewajarnya…… Tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak serta-merta akan diambil terhadap mana-mana syarikat kawalan keselamatan sekolah yang tidak patuh kepada garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata tindakan itu sudah dilakukan sepanjang tahun lalu dan tahun ini berdasarkan laporan diterima.

Sehubungan itu, katanya, pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa melaporkan kepada Jabatan Pendidikan negeri atau daerah jika ada syarikat keselamatan tidak patuh pada kontrak ditandatangani.

“Tidak benar dakwaan laporan isu ini tidak berkesan kerana sepanjang tahun lalu dan tahun ini, kementerian menerima 30 laporan dan 24 syarikat ditamatkan kontrak.

“Daripada jumlah itu, hampir 30 peratus diberhentikan kerana prestasi tidak memuaskan. Kementerian tidak ragu-ragu tamatkan kontrak jika tidak tepati syarat ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. – WD MY